| Pengembara . Sebuah . Perjalanan |

"Sesungguhnya seseorang Muslim itu apabila berjalan di Jalan Dakwah, ia tidak berjalan dengan hatinya sahaja tetapi dibawa bersama hati saudara-saudaranya. Justeru itu, setiap pahala yang didapati di sepanjang perjalanannya, pasti akan terbias untuk saudara perjuangannya.."

Pages

Lilypie Kids Birthday tickers

Popular Posts

Al-kisah: Kerana Beg Duit Ungu


“Tiba-tiba, bila saya sampai di rumah saya perasan beg duit saya telah tiada dalam beg galas saya. Puas saya cari di merata tempat kat rumah tapi tak jumpa. Sebab tu saya syak yang beg duit saya hilang di pejabat. Lagipun sebelum ni, memang banyak kes kehilangan barang dan duit di pejabat kami. Saya sendiri pernah hilang sekeping wang not 50 ringgit.”

Bersungguh-sungguh Nurul Sabrina cuba menerangkan situasi siang tadi kepada pihak polis yang bertugas di balai polis tersebut. Kehilangan kad pengenalan dan lesen memandu perlu di laporkan demi keselamatan. Tiada sebab lain kenapa laporan ini dibuat. Jiwa dan perasaannya ketika itu sudah diselubungi kepasrahan dan redha seratus peratus atas apa yang berlaku terhadapnya kerana dia yakin bahawa segala yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi.

***

Sejak dari awal pagi lagi, aku dan Azlina sibuk menyelesaikan tugasan laporan untuk diserahkan kepada pensyarah. Dr. Ummu Hani akan datang berkunjung ke pejabat kami untuk menilai dan mendengar pembentangan aktiviti sepanjang kami menjalani latihan industri di syarikat ini. Sejak tiga minggu yang lalu lagi Dr. Ummu Hani memaklumkan akan kehadirannya.

“Tahniah atas prestasi yang ditunjukkan untuk setakat ni. Teruskan usaha sehingga 3 Ogos nanti. Tak lama dah tu nak habis. Sabar ye.” usik Dr Ummu Hani sambil tersenyum lebar.

“InsyaAllah Dr. Doakan kami ye. Keputusan tawaran untuk proram master dah keluar nanti jangan lupa maklumkan kepada kami tau!” pesan aku kepada pensyarah kesayanganku itu setelah berkali-kali cuba menyungkil rahsia keputusan tawaran program sarjana di UKM. Dr. Ummu Hani hanya tersenyum melihat gelagat kami. Tidak lama selepas itu, Dr. Ummu Hani pon meninggalkan kami dengan memecut laju kenderaan pacuan empat rodanya. “Ada urusan penting agaknya Dr. tergesa-gesa balik.” bisik hati kecilku.

“Fuhhh..lega!” Azlina menjerit kecil.

“Tahu tak pe! Lega dah selesai pembentangan tadi. Sekarang ni, kita rilek dulu lah sampai habis waktu kerja. Amacam?” cadangku kepada Azlina.

“Haruslah!” berderai ketawa aku dengan seloroh Azlina.

Setelah itu sehingga habis waktu kerja, kami hanya berada di tempat duduk kami di dalam pejabat. Keluar makan tengahari pun tidak. Memang duduk terperuk sahaja dalam pejabat. Selamat duit dalam beg duit ungu kesayanganku itu. Jimat sikit duit belanja kan?

Waktu pejabat hampir tamat. Aku dan Azlina segera mengemaskan barang-barang kami kerana ingin segera pulang ke rumah sewa kami. Letih betul rasanya hari ni. Bukan letih buat apa pun tapi letih menunggu masa untuk pulang ke rumah. Tiba-tiba, ketika aku sedang mengemaskan barang-barangku untuk pulang, aku rasa seperti barang-barang di dalam beg galasku itu ada sesuatu yang kurang. Tapi aku tidak begitu mengambil berat akannya dan terus beredar keluar dari pejabat.

Sebelum tiba di rumah, aku singgah sebentar di sebuah kedai burger yang terletak betul-betul di hadapan rumah sewa kami. Pelbagai lagu musikal kedengaran dari perut kosongku akibat tidak menjamah apa-apa makanan sejak tengahari tadi.

Tiba-tiba, hatiku rasa berdebar-debar. Beg duit ungu aku tiada di dalam beg galas! Seluruh bahagian beg galas telah aku selongkar untuk mencari beg duit ungu tersebut. Sah! Perasaan aku seperti ada sesuatu yang kurang di pejabat tadi memang benar.

“Ya Allah. Azlina!!!”
“Kenapa? Kenapa kau menjerit ni Sabrina?”
“Beg duit aku Azlina. Beg duit aku tak ada dalam beg galas aku!”
“Eh, kau biar betul Sabrina. Cuba cari betul-betul. Betul ke tak ada ni?”
“Betullah. Tak kan aku main-main kot. Macam mana ni?”

Sebelum aku betul-betul pasti bahawa beg duit aku hilang, fikiranku bertubi-tubi memujuk hati aku supaya redha dan pasrah jika ia benar-benar terjadi. Sungguh. Amat sukar rasanya fikiran dan hatiku bergelut dengan perasaan sedih, marah, kecewa dan lain-lain sifat negatif dalam diri. Dalam masa yang sama, fikiranku ligat mengingat kembali dokumen-dokumen penting yang ada di dalam beg duit tersebut. “Kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kad insurans perubatan. Apa lagi ye..hurm..”

“Tenang Sabrina. Tenang..” hatiku memujuk diriku sendiri. “Takpelah. Kalau beg duit tu betul-betul hilang, takpelah. Bukan rezeki aku untuk memilikinya lagi.” hatiku terus menerus memujuk diriku.

Lama aku termenung sendirian. Sahabat yang lain tidak banyak bertanya. Mereka terus melakukan aktiviti masing-masing. Takut untuk bertanya barangkali. Aku berfikir bahawa ini tak lain dan tak bukan adalah ‘curi’. ‘Beg duit aku dah kena curi’. Peristiwa aku pernah kehilangan wang not 50 ringgit di pejabat pada bulan lepas menerjah-nerjah ke kotak fikiranku. Ia menguatkan lagi rasa hatiku bahawa ini memang kes curi!

“Memang sah la ni. Ada orang kat pejabat yang ambil beg duit aku tanpa kebenaran aku.” detik hatiku mula mengesyaki. Namun begitu, hatiku tetap tenang menerima dugaan ini. Cuma kadang-kadang terasa marah dengan diri sendiri kerana cuai. Ketika sesi pembentangan dengan Dr. Ummu Hani siang tadi, aku tidak meletakkan beg duit itu di tempat yang berkunci. Aku tidak mengambil pengajaran dengan kejadian yang lalu!

Telefon bimbitku berbunyi. Seperti yang aku jangkakan. Terpampang nama ‘Ummi Cayang’ di skrin. Baru beberapa minit yang lepas aku khabarkan kepadanya tentang kehilangan tersebut melalui khidmat pesanan ringkas.

“Assalamualaikum. Beg duit hilang? Kat mana hilangnya?” ummi bertanya untuk kepastian. “Entah la ummi. Ina letak dalam beg je. Tak keluarkan langsung satu hari ni sebab takde beli apa-apa pun. Kat office tadi tak perasan hilangnya. Sampai rumah baru perasan beg duit dah tak ada dalam beg galas.”  jelasku kepada ummi. Dadaku berombak menahan sebak di dada. Mana tidaknya. Dengar suara ummi je terus terasa nak menangis. Itulah sifat semula jadi wanita yang mudah menangis. Walau macam mana kuat pun jiwanya, hatinya mudah tersentuh. Lebih-lebih lagi kalau tengah mengadu dengan mak sendiri. Akhirnya, air mataku tumpah juga. Teresak-esak menangis sambil menceritakan kejadian yang berlaku.

Selepas mematikan perbualan tersebut, tiba-tiba aku teringat akan kata-kata yang pernah aku terbaca dulu di dalam internet.

“Menangislah dan senyumlah. Bangkitlah dari kesedihan dan ubatilah hatimu dengan mengingati Allah!”

Sungguh mendalam maksud kata-kata ini. Jika  kita diselubungi kesedihan, zahirkanlah kesedihan tersebut. Menangislah semahunya. Tetapi janganlah sesekali kita biarkan kesedihan itu terus menyelubungi diri kita selamanya. Bangkitlah. Bangkitlah dari kesedihan itu dan tinggalkan ia di belakang. Sesungguhnya, setiap ujian yang Allah turunkan itu adalah teguran langsung dari Allah. Itu tandanya Allah sayangkan kita. Dia mahu kita ingat kepadanya di kala kesusahan. Kerana Dia telah menjanjikan bahawa, di sebalik kesusahan itu, terselit kemudahan dan kemanisannya. Allah…Allahu Akbar.

Aku bingkas bangun dan menggapai sebuah buku ma’thurat dan terus membacanya. Tenang sekali ya Allah. Tenang hatiku membaca ayat-ayat pujukan dan ketenangan itu. Subhanallah…

Aku mengambil langkah keselamatan dengan menelefon pihak bank untuk menyekat sebarang pengeluaran wang melalui kad bank. Kurang dari setengah jam, kedua-dua kad bank telah berjaya disekat. Kini, aku perlu membuat laporan polis atas kehilangan kad pengenalan dan lesen memandu. Sarimah, teman serumahku menawarkan dirinya untuk membawa aku ke balai polis membuat laporan tersebut. Aku pun bersetuju dan terus bersiap untuk pergi ke sana bersamanya.

***

Ketika pulang dari balai polis, jam di dinding rumah menunjukkan waktu telah hampir lewat malam. Aku terus bersiap untuk masuk ke bilik dan tidur. Walau apa pun yang terjadi, esok aku tetap harus kembali bekerja. Seperti biasa sebelum masuk ke bilik, aku akan ke bilik air terlebih dahulu. Aku teringat akan ubat gigi yang baru aku beli petang semalam selepas pulang dari tempat kerja kerana ubat gigi yang sedia ada telah kehabisan. Ubat gigi itu adalah kali yang terakhir sekali aku membeli dengan mengeluarkan duit dari beg duit ungu kesayanganku itu. Iyalah, sepanjang hari tadi mana aku beli apa-apa kan. Eh, kali terakhir???

Hatiku rasa berdebar-debar. Kencang. Aku cepat-cepat menyelongkar beg plastik barang yang aku beli petang semalam. Hah?!!

“Ya Allah. Alhamdulillah! Tapi kenapa aku tak terfikir pon nak periksa beg plastik ni tadi..adui..”

Malunya rasa…malu dengan sifat cuai diri sendiri..malu dengan ummi, malu dengan pegawai polis tadi, malu dengan semua orang!


Kemudian, tak semena-mena aku tergelak sendiri bila mengenang kembali apa yang berlaku sepanjang hari ni. Hanya kerana beg duit ungu kesayanganku itu…




p/s: kene buat kad bank baru la plak..pastu, rasa membazir ayaq mata pon ade jugak! Hahaha.. eh, bukan saya yang kata, Nurul Sabrina ni yang beritahu kat saya tadi.. :p